Monday, December 11, 2017

Aku, HIV dan Kehidupan : Inilah Pengembaraanku


Diagnosa
Segalanya bermula apabila aku mencuba satu produk supplemen yang kononnya mampu mengawal berat badan. Pada ketinggian 183 cm dan berat pada masa itu 72 kilogram ,aku bukanlah dalam kategori obes atau gemuk. Tapi keinginan mencuba hanya kerana produk tersebut dicadangkan oleh seorang teman FB. Menurutnya produk itu berasaskan nano oat yang bebas Genetic Modified Organism (GMO).
Beberapa hari pertama aku gembira kerana selera makan aku sangat berkurangan berbanding sebelum ini. Namun lama-kelamaan selera aku seolah-olah mati. Aku memang tidak menjamah makanan sepanjang tempoh aku bermula sakit itu. Malahan air juga aku semakin kurang ambil sedangkan sebelum itu aku tidak langsung boleh kurang air dalam tubuh. Tambahan pula aku sering mengalami symptom demam malam hingga menggangu tidur aku. Keadaan tubuh aku semakin lemah dan berat badan aku turun dengan sangat drastik.
Being me, aku memang sangat memusuhi hospital dan klinik.
Selepas hampir 8 bulan aku menderita kehilangan berat badan melampau, akhirnya aku dipaksa ke Hospital Putrajaya oleh keluargaku. Seawal jam 1800 hrs kami memulakan perjalanan ke Putrajaya dari Shah Alam. Tiba di Jabatan Kecemasan dan Trauma hospital jam 1900 hrs, seperti biasa aku perlu melalui proses saringan di kaunter triage. Dengan ketinggian 183 sentimeter dan berat ketika itu cuma 44 kilogram, soalan pertama yang ditanya petugas adalah sama ada aku pengguna dadah atau sebarang bahan terlarang. Aku cuma mampu menggelengkan kepala lemah. Selesai proses saringan aku dirujuk ke Zon Kuning kerana keadaan aku yang sangat lemah. Keluargaku menguruskan pendaftaranku di luar.
Aku ditolak dengan kerusi roda sebelum dipindahkan ke sebuah katil yang terletak berhampiran pintu masuk Zon Kuning. Maka bermulah sessi “history taking” bagi mengenalpasti punca masalah kesihatan aku. Darah aku diambil untuk ujian pengesahan. Jujur aku katakan yang aku tidak menyangka langsung yang tubuh aku sudah didiami virus ini. Beberapa petugas menjalankan tugas masing-masing dengan cekap bagi memastikan aku mendapat rawatan yang perlu.
Jam 2200 hrs keluarga aku perlu pulang kerana masing-masing perlu bekerja keesokkan harinya. Aku ditinggalkan dengan bekalan roti dan segelas air milo panas sebagai alas perut sekiranya aku perlu makan. Aku sendiri hilang kiraan entah berapa kali darah aku diambil.
Kemudian datang seorang jururawat memberitahu yang aku perlu menjalani proses pengambilan oksigen tulang atau nama mengikut istilah perubatan “arterial blood gases” di mana sampel darah dari arteri diambil. Diterangkan bagaimana proses tersebut bagi mendapatkan persetujuan. Dalam keadaan lemah aku cuma bersetuju dan redha dengan apa jua yang bakal petugas lakukan asalkan aku kembali sihat seperti sedia kala.
Sebelum aku jatuh sakit, aku adalah seorang yang sangat aktif. Berjalan kaki dari Jalan Petaling ke KLCC sudah menjadi rutin mingguanku. Hampir kesemua destinasi yang tidak memerlukan aku menggunakan pengangkutan awam akan aku sampai hanya dengan berjalan kaki.
Aku kemudian dihampiri seorang petugas bagi menjalankan prosedur yang telah diberitahu awal tadi. Pergelangan tangan kanan aku di pegang dan aku melihat ada dulang berisi beberapa aperatus prosedur di letakkan berhampiranku. Dengan memakai sarung tangan jarum dimasukkan ke pergelangan tanganku. Tanpa bius aku dapat merasakan sesuatu dikorek dari tulang pergelangan tangan. Rasa sakit yang aku tanggung hanya Allah yang mengetahui. Jika prosedur tersebut dilakukan dalam keadaan aku sihat, aku yakin petugas tersebut akan aku tumbuk. Prosedur itu mengambil masa beberapa minit namun aku rasakan nyawa aku ditarik-tarik menahan kesakitan yang amat sangat.
Selesai prosedur tersebut, dating seorang lagi doctor yang kembali mengambil sejarah kesihatan dan aktiviti aku. Soalan kali ini menjurus kepada aktiviti masa lapang aku dan aktiviti seksual aku. Aku masih belum dapat meneka kenapa soalan tersebut ditanyakan.
Selang beberapa ketika aku dihampiri petugas yang lain pula. Kali ini aku diberitahu yang aku akan disuntik dengan sejenis antibiotik melalui salur darah di pergelangan kakiku. Sama seperti sebelum ini aku hanya bersetuju. Sebuah troli berisi peralatan ditolak di hujung kaki. Aku dapat melihat sebuah botol kaca kecil di bawa oleh petugas. Mungkin itulah antibiotik yang dimaksudkan kata hatiku. Apabila ubat tersebut disuntik, pandangan aku gelap beberapa detik. Hanya kematian yang terlintas di mindaku ketika itu namun Allah masih mahu aku meneruskan perjuanganku. Aku kembali sedar. Dan aku masih bernafas!
Prosedur demi prosedur aku lalui dan kemudian aku dihampiri seorang doktor wanita bertopeng muka tetapi punya mata yang amat cantik pada hemat aku. Beliau menerangkan yang selepas beberapa ujian dilakukan, paru-paru kiri aku didapati sudah tidak lagi berfungsi. Paru-paru aku juga didapati mengandungi air yang agak banyak. Aku perlu menjalani prosedur mengeluarkan air tersebut malam itu juga. Segala aturan diterangkan sebaik mungkin dan aku dibenarkan bertanya sebarang soalan. Aku juga diberikan borang kebenaran menjalani prosedur kerana menurut beliau prosedur ini agak sulit.
Setelah menanti hampir 2 jam, akhirnya aku di bawa ke sebuah bilik prosedur dan diminta duduk dengan memeluk sebuah bantal yang disediakan. Aku dapat melihat sebatang jarum yang agak panjang dan beberapa botol kaca sudah tersedia di situ. Aku dibantu suapaya dudukku stabil bagi mengelakkan sebarang komplikasi. Aku dapat rasakan bahagian belakang tubuhku disuntik dengan sesuatu dan beliau menerangkan itu adalah ubat bius bagi mengurangkan kesakitan sepanjang prosedur. Direhatkan sebentar lalu prosedur bermula. Anehnya pada waktu itu ubat bius seolah tidak mampu menahan tubuhku dari merasai kesakitan prosedur. Aku sedikit memberontak sehingga aku perlu dipegang oleh beberapa jururawat. Sekali lagi aku merasakan kesakitan yang amat sangat. Suntikan pertama jarum itu aku rasakan menusuk melalui kulitku. Dan melaui cermin yang ada di bilik prosedur tersebut aku dapat meihat cairan berwarna merah dipindahkan ke dalam botol kaca. Proses yang sama diulangi beberapa kali hinggalah aku minta beliau tidak meneruskannya kerana rasa sakit yang amat sangat. Menghormati keputusanku, beliau menghentikannya dan meminta aku dihantar ke wad serta-merta. Beliau sempat memohon maaf atas apa yang terjadi. 9 botol sampel cairan sempat diambil untuk dibawa ke makmal bagi tujuan ujian lanjut.
Jam hampir 0300 hrs aku dibawa ke Bilik 2 Wad 4B. Wad dengan kapasiti 2 katil disediakan untuk keselesaanku. Namun hanya aku seorang yang berada di situ. Datang seorang jururawat yang menjalankan proses “history taking” sekali lagi dan aku ditanya jika aku mahu makan atau minum apa-apa. Selepas menjamah roti dan menghabiskan minuman aku tidur dengan cukup selesa selepas beberapa bulan.
Jam 0900 hrs aku dikejutkan oleh jururawat untuk mengambil bacaan tekanan darah dan suhu tubuh. Kemudian aku dapat melihat doktor bermata cantik itu masuk ke wad yang aku diami.
Aku disapa dengan ucapan salam dan bertanyakan keadaan aku waktu itu. Aku menjawab aku merakan keadaan tubuhku lebih baik berbanding sebelum ini. Dan baru aku ternampak yang sarapan pagi aku sudah tersedia di atas meja. Aku ditanya jika mahu makan tapi seleraku masih mati ketika itu. Beliau membantu membancuh minuman sebagai alas perut katanya.
Perlahan beliau duduk di kerusi yang disediakan untuk pelawat dan mula menerangkan yang aku perlu melalui prosedur yang aku lalui awal pagi tadi sekali lagi. Kandungan air di dalam paru-paruku terlalu banyak hingga memaksa pihak perawat melakukannya sekali lagi. Aku tidak menolak dengan syarat aku tidak lagi mahu merasakan kesakitan yang aku alami sebelum ini. Beliau berjanji yang kali ini aku tidak akan merasai kesakitan lagi. Prosedur dijadualkan jam 1100 hrs.
Tepat pada waktu, beberapa jururwat masuk ke kamarku bersama doktor bermata cantik itu. Sebuah troli berisi peralatan yang aku lihat awal pagi tadi ditolak masuk juga cuma bezanya aku dapat melihat sebuah beg besar yang aku jangka bakal digunakan untuk mengisi cecair yang bakal dikeluarkan. Beliau sekali lagi menerangkan prosedur yang bakal aku jalani dengan baik. Aku diberi pilihan mahu manjalaninya dalam keadaan baring mengiring atau duduk. Diterangkan juga bagaimana jika aku memilih dalam keadaan baring, bagaimana proses tersebut dilakukan. Begitu juga dengan dalam keadaan duduk. Aku memilih duduk kerana kamar yang aku diami aku dapat melihat keadaan di luar hospital. Sekali aku aku minta jasa baik beliau agar memberikan aku cukup ubat bius kali ini. Melalui pandangan mata beliau aku dapat melihat yang beliau sedang tersenyum mendengar permintaanku.
Dengan lafaz Basmallah, beliau menyuntik ubat bius ke tubuhku. Kali ini serta merta aku merasakan tubuh aku ringan dan aku seolah-olah khayal. Sempat aku berseloroh dengan beliau dengan mengatakan aku rasa seperti berada diawang-awangan. Sekali lagi beliau tertawa kecil. Dengan meminta izin beliau memasukkan sebatang jarum yang agak panjang ke tubuhku. Aku tidak merasakan kesakitan tetapi perjalanan jarum menuju ke bahagian yang perlu aku dapat rasakan. Beliau memberitahu yang beliau akan mula menyedut keluar cairan tersebut. Aku cuma mengangguk.
Prosedur yang mengambil masa lebih dari 1 jam itu akhirnya tamat. Walaupun ada sedikit masalah kerana aku terlalu ingin melihat bagaimana rupa cecair yang keluar dari tubuhku sehingga sedikit menggangu prosedur (ya...itulah aku. Always have high curiosity for things). Aku diberitahu yang cecair yang dikumpul hampir 3 liter! Aku sempat berseloroh dengan beliau menanyakan bagaimana paru-paru aku mampu menampung air sebanyak itu. Dengan tenang beliau terangkan apa yang beliau tahu. Kagum aku dengan kesabaran beliau menerangkan satu persatu apa yang ingin aku ketahui.
Hari pertama aku di hospital banyak dihabiskan dengan sessi soal jawab akan kehidupanku oleh pelajar-pelajar perubatan. Selera makan masih belum ada. Aku Cuma mampu minum milo bagi memberikan aku tenaga. Sebelah tengahari doktor bermata cantik itu kembali datang bertanyakan kenapa aku masih enggan mahu menjamah makanan sedang itu amat perlu dalam proses penyembuhan. Aku memberitahu beliau yang aku memang tiada selera langsung untuk makan. Beliau kemudian memanggil jururawat dan meminta jururawat menghubungi pihak penyedia makanan untuk menghantarkan aku sup ayam beserta nasi dan buah-buahan. Juadah yang sudah terhidang juga diambil kembali sebelum set juadah kedua sampai tak lama kemudian. Sebelum meninggalkan aku beliau sempat berpesan jika aku mahu menukar menu cuma maklumkan petugas bahagian diet dan beliau akan memastikan aku mendapat apa jua permintaanku.
Terdetik juga di hati kenapa aku dilayan sebegitu istimewa sedangkan sebelum ini aku sering mendengar dan membaca yang perkhidmatan di hospital kerajaan sangat teruk. Atau mungkin beliau tahu yang ajal aku akan tiba tak lama lagi?
~bersambung di bahagian kedua~

No comments:

Post a Comment