Monday, December 11, 2017

Aku, HIV dan Kehidupan : Inilah Pengembaraanku

Pengenalan
Kisah ini adalah rentetan hidup aku sebagai seorang penghidap HIV+. Bermula dari kehidupan aku sejak aku dilahirkan sehinggalah aku berada di tahap di mana aku berada sekarang.
Sesungguhnya pengembaraan aku tidaklah indah. Terlalu banyak onak dan ranjau duri yang perlu aku tempuhi sebelum aku mampu mencoret kisah yang tidak seberapa ini untuk tatapan kalian.
Sedikit klarifikasi sebelum aku meneruskan pengkisahan ini. Tercatatnya tulisan ini di depan anda bukan untuk aku menghukum sesiapa. Bukan juga aku aku berbangga kerana aku punya status HIV+. Nawaitu aku cuma satu, semoga kisah ini dapat memberi inspirasi kepada pesakit-pesakit HIV dan AIDS untuk bangun dan keluar dari zon stigma diri.
Percayalah apabila kalian terbuka menerima hakikat keadaan kesihatan anda, masyarakat juga akan menerima baik kehadiran anda di kalangan mereka.
Kisah ini juga mahu aku kongsikan dengan mereka yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dengan para pesakit HIV dan AIDS.
Berhentilah menjauhi kami kerana kami juga adalah manusia seperti anda. Dekati kami supaya mudah bagi kami menghampiri hijrah.
.
Latar Belakang.
Anak ketiga dan lelaki tunggal dari perkongsian hidup 2 insan. Sejak kecil orang yang berada di luar lingkungan keluarga kecil kami sering memandang kami sebagai sebuah keluarga yang bahagia.
Punya kelebihan material berbanding rakan-rakan lain. Punya ayah yang sangat menyayangi kami. Punya ibu yang sentiasa memastikan kami mendapat yang terbaik.
Sayangnya itu Cuma apa yang orang lain dapat lihat. Disebalik drama keluarga bahagia itu, kami dihadapkan dengan pelbagai krisis dalaman keluarga kami.
Kami membesar melihat pelbagai khilaf sang ayah. Bertukar wanita itu adalah permainannya. Punya anak hasil hubungan sumbang mahram yang arwah ibu sendiri membesarkan anak itu. Kami pernah ditinggalkan berbulan-bulan lamanya kerana ayah tinggal dengan wanita lain tanpa ikatan pernikahan.
Arwah ibu adalah tempat ayah melepaskan kemarahan. Sepak dan pukul itu makanan arwah ibu sejak aku mampu mengingat. Sayangnya masa itu aku terlalu mentah untuk membantu arwah ibu.
Penderitaan ibu berakhir apabila ayah memutuskan unntuk menceraikan ibu atas alasan ingin bernikah lain. Aku sudah mencapai usia 14 tahun waktu itu dan kami adik beradik sepakat meminta arwah ibu menuntut cerai sebelum terus dilukakan dengan sikap ayah.
Walaupun ayah sedikit berkeras pada awalnya tak mahu melepaskan arwah ibu tetapi Allah membuka hatinya dan maka arwah ibu dilepaskan dengan talak 1.
Ayah melepaskan kami dengan janji yang dia akan bertanggungjawab terhdap kami 3 beradik walaupun sudah tidak tinggal sebumbung. Aku adalah anak emas ayah kerana aku adalah satu-satunya anak lelaki dan Alhamdulillah aku antara yang cemerlang dalam akademik berbanding kakak-kakak aku.
.
Aku. Depresi.
Aku mula merasai depresi yang amat sangat. Kehilangan sosok bergelar ayah, belajar meneruskan kehidupan dengan sumber kewangan yang terhad, belajar menjaga arwah ibu seawal usia 14 tahun.
Secara mudahnya, aku perlu matang sebelum usia. Arwah Ibu yang sebelum ini tidak pernah bekerja mula berjualan nasi lemak bagi menampung perbelanjaan harian.
Ayah memang ada memberi wang nafkah tapi menurut arwah ibu, want itu milik aku. Dia masih mampu bekerja dan menyara kehidupan dirinya dan aku (kedua-dua kakak aku masa tu seorang sudah bekerja dan seorang lagi sudah berumah tangga).
Selepas beberapa bulan masih tinggal di rumah yang sama, arwah ibu membuat keputusan untuk berpindah ke Kuantan dan tinggal bersama kakak keduaku di sana. Aku memberontak kerana sejak kecil aku sering bertukar sekolah. Aku memohon untuk tinggal di asrama tetapi permintaanku di tolak mentah-mentah.
Masuk penggal kedua Tingkatan 2, aku bersekolah di Kuantan. Menurut arwah ibu, sekolah itu adalah sekolah elit. Agak sukar menjadi murid di sekolah itu tanpa keputusan peperiksaan yang baik dan Alhamdulillah aku diterima.
Di sinilah bermula perjalanan khilafku. Dalam keadaan depresi terpaksa bertukar suasana persekolahan dari sekolah murid-murid lelaki ke sekolah campuran, aku juga sedikit kekok berkomunikasi dalam loghat tempatan. Sekolah mula menjadi tempat yang membosankan buat aku. Kehadiran aku sangat teruk.
Maksimum seminggu Cuma 2 kali aku ke sekolah. Selebihnya aku tinggal di rumah. Pernah terjadi, bekas abang iparku menghantar aku ke sekolah. Bila dia hilang dari pandangan, aku berpatah balik ke rumah.
Hujung minggu dan cuti persekolahan aku isi masa dengan mengikut arwah ibu bekerja. Menjadi pelayan di gerai tepi pantai sementara arwah ibu di dapur. Pendapatan RM10 sehari jika aku bekerja sangat besar nilainya buatku masa itu. Dan arwah ibu tidak pernah sedikit pun mengambil atau meminta pendapatanku.
Dalam pada itu, dalam perjalanan pulang ke rumah dari sekolah ada sebuah toko menjual majalah yang perlu aku tempuhi saban hari. Dan itu adalah tempat kegemaranku kerana membaca adalah sesuatu yang sangat aku minat.
Toko tersebut dijaga oleh seorang gadis berusia awal 20an yang sangat peramah. Hubungan mulai terjalin dengan kakak tersebut. Setiap hari aku pasti singgah di toko tersebut dan berbual-bual dengannya.
Hinggalah pada satu hari, kakak ini menawarkan aku sebuah majalah yang tidak dipamerkan di luar. Menjadi anak yang naïf pada usia itu dan sifat ingin tahu aku yang sangat tinggi, aku sekadar mengikuti apa jua yang kakak ini minta aku buat.
Tirai toko ditutup, hanya aku dan kakak itu berada di ruang sempit itu. Majalah Playboy dikeluarkan dan dibiarkan aku membacanya. Dia terus berbual-bula denganku seperti biasa. Dan tanpa sedar, sesuatu telah terjadi. (maaf aku takkan spesifikkan apa yang terjadi. Cukuplah sekadar umum memahami).
Bermula dari situ, setiap kali aku ke toko itu perkara yang sama berulang hinggakan pernah pada satu ketika, kakak itu mengajak rakannya untuk bersama dengan kami. Perkara tersebut berterusan tanpa pengetahuan sesiapa hinggalah aku akhirnya kembali berpindah ke Ipoh selepas tamat peperiksaan PMR.
**Aku kan cerita kisah selepas tu kemudian.
Harap kalian memberikan feedback yang terbaik. Aku bukan buka aib aku tapi aku tidak mahu orang melakukan perkara yang sama seperti aku

No comments:

Post a Comment